Artikel dipetik daripada MALAYANEUM.TRIPOD.COM (artikel asal)
Sejarah
underground di Malaysia ini sudah pun dimulakan oleh segelintir remaja pada
lewat 70an dahulu. Mereka pada mulanya lebih terpengaruh kepada muzik Punk
setelah banyak membaca majalah-majalah dari England dan juga daripada band The
Sex Pistols yang begitu popular ketika itu. Mereka mula mengumpul berita, kaset
dan majalah mengenai punk dan mula berhubung dengan scene punk di luar negara
untuk mendapatkan bahan-bahan tersebut.
Joe Kidd
telah menubuhkan scene punk yang pertama di Kuala Terengganu pada awal 80an,
namun pada masa itu hampir tidak ada band yang ditubuhkan secara serius. Mereka
hanya bermain gitar kapok sambil lepak di tepi pantai, tetapi pada tahun 1987
terdapat sebuah band di Terengganu yang memainkan irama punk dengan pengaruh
thrash metal iaitu Mallaria dan mereka turut merakamkan demo yang tidak
diketahui kesudahannya. Selain Joe Kidd dan rakan-rakan di Kuala Terengganu,
terdapat juga geng-geng punk yang lain di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang (Abazz
daripada band punk The Karatz) tetapi semuanya dalam komuniti yang kecil dan
tidak mempengaruhi budak-budak lain.
Ketika itu
juga telah muncul segelintir pemuzik yang memainkan irama yang lebih keras
iaitu thrash metal. Muzik ini dikesan pada sekitar awal tahun 1984 dan mula
berkembang selepas lebih kurang dua tahun selepas itu. Antara band metal
terawal di Malaysia ialah Punisher, Nemesis, Glottis, Picagari dan FTG. Mereka
ini kebanyakannya mendapat pengaruh band-band luar negara seperti Sodom,
Kreator, Black Sabbath, Venom, Slayer, Bathory dan King Diamond.
Pada
peringkat awal ia tidak dilabel muzik underground kerana tidak wujud suasana
bertukar-tukar demo tape, maklumat dan membuat fanzine sendiri.
Material-material dari luar negara (album, demo dan majalah) masih lagi tidak
dijual di sini. Kebanyakannya hanya dibawa oleh pelajar-pelajar di luar negara
dan mana-mana mamat yang berminat cuma fotostat dan dubbing sahaja daripada
mereka.
Bermula pada
tahun 1988, keadaan sudah menjadi semakin hangat apabila sudah ramai remaja
yang berminat muzik sebegini. Muzik tersebut sudah mula diklasifikasikan dengan
lebih spesifik sperti death metal, industrial, grindcore dan black metal. Kalau
sebelum itu jika sesuatu muzik itu lebih berat daripada heavy metal, ianya
dipanggil thrash metal. Selain daripada band-band yang disebutkan tadi, sudah
ada band yang memainkan muzik yang lebih ganas konsepnya iaitu black metal.
Antara band black metal terawal ialah Black Fire, Rator dan Vulga. Pada tahun
itu juga sebuah konsert thrash metal pertama kali telah diadakan di Stadium
Negara dengan aksi band Punisher, Nemesis, Saxo dan Slap Death. Penonton
dianggarkan sekitar 6000 orang walaupun sebelum beberapa buah media tempatan
mengatakan konsert tersebut tidak akan mendapat sambutan ekoran daripada jenis
muzik yang dibawakan.
Suasana
underground mula wujud apabila sudah banyak band mula merakamkan demo, membuat
fanzine dan sudah ada gig secara kecil-kecilan. Muzik thrash, black dan death
metal telah dilabel sebagai muzik underground. Pada penghujung tahun 1989,
Rator telah merakamkan demo mereka yang pertama iaitu 'Evil Symphony' di
Hellion Studio, Sil Khannaz juga telah ditubuhkan pada waktu ini. Fanzine juga
telah mula wujud dan antara yang terawal ialah Aedes (Joe Kidd) dan Thrash
Attack (Aziz).
Zine Thrash
Attack hanya dikeluarkan sehingga isu ke lapan sahaja dan selepas itu Aziz
menyambungnya dengan zine Vortex From The East. Ada yang mengatakan zine Aedes
(dimulakan pada tahun 1986) merupakan zine underground yang pertama di Malaysia
tetapi menurut Joe Kidd sebelum itu sudah terdapat sebuah lagi zine di
Terengganu iaitu Huru-Hara. Menurutnya editor zine tersebut hanya diedarkan di
kalangan rakan-rakannya sahaja di Kuala Terengganu. Zine Aedes hanya wujud
hingga isu ke tujuh sahaja. Zine-zine tersebut pada awalnya hanya ditulis
tangan atau ditaip sahaja (menggunakan manual typewriter) dan kemudian
difotostat serta diedarkan kepada rakan-rakan mereka di dalam dan luar negara.
Sebuah zine
dari Ipoh iaitu Krenmaut yang diusahakan oleh Sam (Batara Guru), Ajak dan
Bearkey juga adalah antara zine yang terawal. Selepas tahun 1993 bermacam-macam
zine yang keluar dan boleh dikatakan tedapat di seluruh negara terutamanya di
Kuala Lumpur, Selangor, Perak, Johor, Sarawak, Pulau Pinang dan Pahang. Antaranya
ialah Heartcore, Buddy Holly, Suffer Age, Mukus, Obscure People, Earslaughter,
Piss of Mine, Nathias, Verization, Noisy Scene dan banyak lagi. Ada antara zine
tersebut yang masih wujud sehingga kini seperti Nathias dan Mukus.
Pada waktu
yang sama, scene underground berkembang dengan begitu pesat. Antara yang begitu
aktif ialah di Kuala Lumpur, Ipoh, Kuantan dan Pulau Pinang. Pada awalnya hanya
muzik metal sahaja yang menduduki 'carta underground' dan begitu banyak
diadakan di kelab-kelab. Pada waktu ini sudah banyak band metal ditubuhkan
seperti Silent Death, Suffercation, Infectious Maggots, dan banyak lagi.
Kebanyakan daripada band-band ini berpusat di Kuala Lumpur dan sering membuat
'meeting' di Central Market. Bandaraya Ipoh juga antara yang paling aktif
melahirkan band-band metal yang power. Antaranya ialah Langsuyr, Profane
Creation, Necrotic Chaos, Athotorgh dan banyak lagi. Di Sarawak juga terdapat
scene yang aktif dengan band metal seperti Senseless, Sputum dan Kremation.
Pada waktu
tersebut juga terdapat band black metal seperti Aradia, Nebiras, Bazzah,
Hayagriva, Misanthrope, Mistik, Nakaratul Khaum dan macam-macam lagi. Selepas
itu wujud bermacam-macam lagi band beraliran metal seperti Narsamum, Infernal
Void, Silo, Kerrasuk dan pelbagai lagi band dengan konsep metal yang pelbagai.
Kebanyakan daripada band tersebut juga sudah mula merakam album di bawah
label-label independen yang wujud untuk menyokong scene underground seperti
Dark Journey Records, Ultra Hingax Productions dan Sonic Asylum Records.
Jika
disingkap kembali kepada senario hiburan tempatan pada waktu itu adalah
tersangat menyedihkan kerana penguasaan golongan karyawan yang tidak punya
sensiviti kepada progresi evolusi corak hidup alternatif, golongan muda/remaja.
Sebahagian besar karya muzik mainstream yang diciptakan itu perlu berlandaskan
kepada nilai komersil dan ini begitu menyesakkan citarasa golongan muda yang
ingin sekali mencari kelainan. Sebut sahaja dari segi citarasa muzik, filem
mahu pun budaya hidup, jelas golongan anak muda moden mahukan sesuatu yang
mungkin tiada nilai komersil langsung tetapi kuat ciri estetikanya.
Bertitik
tolak dari kemunduran dunia muzik tempatan, maka kelahiran aliran corak hidup
alternatif melalui dunia muzik dilihat sebagai satu cetusan budaya pop yang
menjana pengikutnya sendiri. Pada waktu itu rasanya kemeriahan dan keakraban
sesama pengikut 'undergrounders' terasa utuh kerana bersemangat tinggi untuk
mewujudkan dunia muzikal mereka sendiri. Tiada sebarang sempadan yang
menghalang mereka dari menikmati alunan protes dan kekerasan dari pemuzik
bermahzabkan underground kerana ia turut terkandung bersama cetusan hati dan
jiwa pemberontakan remaja pada waktu itu.
Turut sama
lahir seiring dengan cetusan ini adalah kepelbagaian corak genre muzik
tempatan. Daripada golongan pendengar muzik Melayu yang terkenal sinonim dengan
irama leleh maka pencetusan genre muzik dari aliran kumuh Rock n’ Roll seperti
Heavy, Speed dan Death Metal bagaikan mantra anak muda. Boleh dikatakan
eksistensi gig-gig muzik underground muncul bagai cendawan tumbuh selepas
hujan. Walaupun dijalankan secara kecil-kecilan di kelab malam atau pub-pub
sekitar kota, namun kehadiran pengikutnya makin bertambah dan secara tak
langsung gerakan ini boleh dikatakan mencapai status 'cult'.
Kemasukan
era 90’an, terasa benar-benar memberi impak yang besar. Jelas dari perubahan
arah muzikal ketika itu turut sama mempengaruhi gaya hidup terkini dengan
kelahiran generation-x yang membuahkan genre muzikal seperti 'alternative',
'grunge', 'indie', 'brit pop', 'punk', 'skin', 'hardcore' dan pelbagai lagi. Ia
bagaikan virus yang pantas menular di kalangan remaja sekolah untuk turut sama
mengikuti trend muzikal terbaru hasil import dunia hiburan antarabangsa.
Kemeriahan begitu terasa, malah semakin banyak pula band-band gagasan anak muda
Malaysia yang hebat wujud pada waktu itu seperti O.A.G, Spiral Kinetic Circus,
Carburetor Dung, Butterfingers, Namesis, The Pilgrims, A.C.A.B dan banyak lagi.
Sekitar
pertengahan 90'an, industri muzik underground tempatan bagaikan mencapai
kemuncaknya kerana semakin banyak penganjuran gig-gig dilakukan di luar
daripada ibu kota. Pulau Pinang, Perak dan Johor Bharu turut sama mempunyai
pengikut undergrounders tersendiri dan hampir setiap hujung minggu pasti ada
sahaja gig-gig yang dianjurkan oleh kumpulan underground tempatan. Apa yang
membanggakan adalah kunjungan secara rasmi kumpulan–kumpulan muzik antarabangsa
seperti Third Eye Blind dan Fugazi ke Kuala Lumpur untuk memenuhi undangan
bermain muzik di Fire Discotheque. Penganjurannya dilakukan secara serba
serderhana tetapi tetap mendapat sambutan yang menggalakkan daripada khalayak
undergrounders Malaysia. Tidak ketinggalan, pergerakan muzik underground
Malaysia ini pernah mendapat liputan yang khusus daripada majalah US
berpengaruh seperti Rolling Stone. Pada edisi 528, November 1996, wartawan
David Wright-Neville menulis satu halaman penuh tentang cetusan kelahiran
budaya underground. Boleh juga disemak pada halaman 39, beliau menamakan tajuk
artikelnya sebagai "The Rebels of KL: Malaysian subcultures are smashing
stereotypes with their own brands of punk rock and grunge." Jadi disini
saya mengambil satu petikan komentar beliau berkenaan tajuk di atas. "If
there is any truth to the maxim that the more oppressive the dominant culture
the more creative the subcultures, then tonight's gathering of punks, skin
heads, dreads, and doyen of grunge speaks volumes about modern Malaysia. There are
Malays, Chinese, Indians and a smattering of Eurasians, all gathered in an
almost celebratory atmosphere which certainly speaks well of Malaysia's ability
to manage its once explosive ethnic mix."
Malangnya
pandangan positif diatas tidak selalunya dikongsi bersama wartawan akhbar
perdana Malaysia.
Pernah
tercetus satu kontroversi yang mengemparkan negara akibat daripada kewujudan
budaya underground suatu waktu dahulu. Ia dijadikan satu isu sensasi negara
kerana akhbar tersebut menampilkan foto seorang pemuda skin yang sedang asyik
berpogo di salah satu gig di ibu kota. Isu laporannya benar-benar memberikan
pandangan yang negatif kepada masyarakat dan secara tak langsung remaja
Malaysia dituduh menghadapi krisis moral yang parah. Maka semenjak dari insiden
itu juga semakin banyak gig-gig muzik underground diserbu polis atas arahan
pihak atasan kerana khuatir dengan tahap keruntuhan moral anak muda. Pelbagai
penyakit sosial turut dibangkitkan seraya dengan penglibatan ramai remaja yang
gemar mengunjungi gig-gig ini. Semenjak dari insiden itu, maka pergerakan
golongan underground menjadi sedikit mundur. Penganjuran gig juga semakin
berkurangan walaupun kadang kala setiap bulan pasti ada juga penganjurannya.
Maka dari sini terkesan kemunduran dari segi pengelolaannya dan bertambah parah
banyak pula band-band yang menemukan titik noktah berkarya mereka di persada
underground. Tambah memeritkan adalah apabila insiden Black Metal yang
disensasikan oleh pihak akhbar 2 tahun yang lalu ... Akibatnya senario muzik underground
menghadapi kelesuan. Walaupun begitu, untuk mengatakan scene underground telah
berkubur adalah satu pernyataan yang mengundang kecelakaan kerana ia masih
bernyawa dan akan terus wujud selagi ada golongan generasi muda. Jika
diperhatikan sekarang (setelah hilangnya badi insiden Black Metal), senario
underground kembali mengelegak. Tetapi intensiti dan penyatuan kelompoknya
tidak seperti pada zaman permulaannya. Kini lebih banyak gig yang dilakukan
atas dasar berpuak-puak mengikut genre muzikal yang tersendiri. Tiada lagi
‘unity’ yang sering dilaung-laungkan dahulu. Kalau diukur pula dari segi
prestasi dan penguasaan muzikal memanglah amat membanggakan. Begitu ramai
pemuzik muda generasi pelapis memiliki penguasaan dan kefahaman yang baik di
dalam soal teknikaliti mereka untuk bermuzik.
Dan isu
terakhir yang menjadi kudis adalah soal pengurusan sesebuah show, gig atau
konsert yang melibatkan nama-nama kumpulan underground. Sikap para penganjur
kadang kala amatlah menyedihkan kerana yang dikejar adalah potensi komersil
semata. Mereka bijak memanipulasi keadaan atau etika undergrounders bagi
memenuhi keuntungan yang membuah kepada poket di samping tidak memandang serius
kepada 'equipments' instrument muzik dan juga 'welfare' sesebuah band.
Adakalanya bayaran upah yang diberikan kepada band juga mengecewakan dan hanya
cukup makan. Jika dilihat dari sudut kewangan memangbukanlah soal pokok, tetapi
setiap dari anggota band-band perlulah diberi imbuhan yang seimbang dengan
perkhidmatan mereka menghiburkan khalayak.
Jika keadaan
ini berterusan, mungkin senario muzik underground tidak mungkin mengalami
evolusi sikap dan perubahan yang boleh dibanggakan.
Artikel asal dipetik daripada MALAYANEUM.TRIPOD.COM
Gambar untuk hiasan sahaja.
No comments:
Post a Comment